Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Pihak berkuasa Turki melarang kenderaan daripada memasuki dan meninggalkan Lapangan Terbang Ataturk buat beberapa ketika hari ini setelah pihak polis melepaskan tembakan apabila sebuah motosikal enggan mematuhi arahan supaya berhenti, kata CNN Turk.
Seorang daripada dua lelaki yang menunggang motosikal tersebut mengalami kecederaan dan ditahan manakala seorang lagi ditangkap selepas polis melancarkan operasi mencari, lapor sebuah stesen televisyen swasta. Tiada anggota polis atau orang awam yang dilaporkan cedera di dalam peristiwa itu.
Pada Jun lalu, beberapa orang pengebom berani mati yang dipercayai anggota kumpulan Takfiri Daesh telah membunuh 41 orang dan mengakibatkan 240 mangsa yang lain mengalami kecederaan dengan melepaskan tembakan dan meletupkan bom di lapangan terbang itu.
Insiden terbaru ini walaubagaimanapun tidak menjejaskan operasi di Lapangan Terbang Ataturk yang merupakan lapangan terbang ketiga tersibuk di Eropah. Lapangan terbang itu adalah hab bagi Turkish Airlines yang merupakan penerbangan nasional negara tersebut.
Bagaimanapun, tidak dapat disahkan mengapa pihak polis mengarahkan lelaki itu berhenti.
Dalam kes yang berasingan, pada hari Jumaat lalu, sebuah bom kereta meletup di tengah bandar utama etnik Kurdis, Diyarbakir sekaligus mengakibatkan 11 orang maut dan lebih 100 lagi cedera.
Di dalam tragedi itu, para pegawai menyalahkan Parti Pekerja Kurdistan (PKK) walaupun militan Daesh telah mengaku bertanggungjawab ke atas serangan tersebut.